Friday, December 12, 2008

Balaci

Perkataan adalah sesuatu yang hidup. Ia berkembang dan berubah setiap masa. Seperti juga benda hidup lain, ia pasti punya asal usul yang boleh dikaji. Sesetengah perkataan asalnya dari tempat lain, dipinjamkan seterusnya diubah suai mengikut slanga masyarakat setempat. Balaci, adalah satu perkataan yang sering disebut akhir-akhir ini. Saya tidak tahu samada ia perkataan baru atau lama dan saya juga tidak tahu dari mana asal usul perkataan ini tetapi yang pasti masyarakat hari ini merujuknya kepada orang suruhan politikus yang sanggup berbuat apa saja samada bermoral atau salah dan mulia atau paling hina, demi menaikkan politikus tersebut.

Balaci juga kadangkala disebut ’barua’. Ini dikaitkan dengan tahap kekejian kerja yang perlu dilakukan mereka.

Seorang rakan saya memberitahu tentang perbualannya dengan seorang balaci yang tidak punya masalah mengakui bahawa dia seorang balaci. Rakan saya bertanya, ”apakah kerja engkau sebenarnya sehinggakan tanpa pelajaran dan tanpa pekerjaan yang sempurna, engkau mampu memiliki Rexton?” Jawab balaci tersebut tanpa segan silu, ”kerja aku mudah. Ke mana sahaja aku pergi, aku hanya perlu berkata boss aku adalah manusia paling baik, suci dan murni sementara musuh boss aku pula adalah manusia paling jahat, buruk dan hina di dunia ini”. Pendek kata, sepertimana kisah pekerja kepada watak Jamil dalam filem Madu Tiga, dia hanya perlu berkata ”kasihan!” apabila sesiapa bertanya tentang bossnya.

Itulah kerja seorang balaci. Mudah dan amat lumayan jika pandai memilih boss.

Apabila terlalu sering memuji boss, menyanjung boss di depan orang, seseorang balaci akan mula mempercayai kata-katanya sendiri. Perlahan-lahan, setelah bayaran sebagai balaci tadi dihadam dan menjadi darah daging, boss yang jahat, korup, rakus, khianat lagi hina juga mula dilihat sebagai mulia, mursyid, malaikat, dewata raya atau Tuhan. Pada ketika ini, seorang balaci tidak lagi boleh melihat rasional sesuatu perkara kerana apa yang penting ialah survival bossnya atau sebenarnya dirinya sendiri.

Tanpa sedar, boss tadi disembah di dalam hati di mana sesiapa atau apa sahaja yang menggugat atau dikhuatiri dapat menggugat kedudukan boss tersebut, akan ditentang habis-habisan dengan seribu satu alasan yang mampu difikirkan. Alasan yang digunakan seringkali kelihatan mulia kononnya kerana agama, kerana parti, kerana bangsa atau kerana negara. Sebaliknya semua orang dapat membaca bahawa alasan yang sebenarnya ialah kerana boss mereka semata-mata. Kerana itulah balaci dicemuh dan diketawakan kerana kejahilan mereka dalam memahami diri mereka sendiri.

Seorang balaci sebenarnya merupakan bayang kepada boss mereka. Jika balaci rakus, gelojoh dan sembrono seperti orang kurang pelajaran, maka begitulah juga tanggapan masyarakat terhadap boss mereka. Lalu, jika seseorang politikus tersilap memilih balaci, bukan sahaja reputasi mereka akan tergugat malah seluruh parti juga mungkin diheret bersama dan dicemuh oleh masyarakat. Oleh itu, mahu tidak mahu, kita perlu mengakui bahawa balaci ini sebenarnya mampu mecorakkan politik negara dan pengaruh mereka terhadap masa depan bangsa dan negara tidak boleh dipandang remeh.

Tetapi jangan pula tersalah anggap. Bukan semua yang bekerja untuk seorang politikus itu secara automatik menjadi balaci. Bekerja untuk seorang politikus tidak salah sama sekali tetapi menjadi balaci kepada politikus adalah kerja yang hina. Namun, bagaimana untuk membezakan kedua-duanya ini?

Bagaimana membezakan balaci dengan pekerja? Jawapannya ialah pekerja biasa mendapat gaji dan bonus yang bersesuaian mengikut keadaan. Pekerja biasa tidak mungkin dapat melonjakkan taraf hidup mereka dengan terlalu tinggi dalam sekelip mata melainkan dia punya pendapatan sampingan dengan berniaga, menang loteri atau mewarisi harta pusaka yang banyak secara tiba-tiba. Pekerja biasa perlu ada kelayakan dan pengalaman yang sesuai untuk kerjanya dan kerjanya pula boleh ditafsirkan dalam satu skop kerja biasa.

Kerja seorang balaci pula sukar ditafsirkan ke dalam skop kerja biasa. Kelayakan dan pengalaman mereka pula langsung tidak menjadi soal. Gaji seorang balaci tidak dapat ditentukan dengan pasti tetapi yang pasti bonusnya pasti hebat kerana seorang balaci selalunya mampu melonjakkan taraf hidup mereka dengan begitu tinggi dalam masa yang begitu singkat.

Namun, apa yang lebih menyerlah ialah ramai balaci yang berbangga menjadi balaci dan dengan megah mendabik dada bahawa dialah ’orang kepercayaan’ (balaci) politikus itu atau ini. Ketika sessi politikus bertemu rakyat, balaci seringkali terlebih sudu dari kuah. Ketika bersama boss mereka pula, mereka bukan berlagak seperti seorang pekerja yang punya harga diri, tetapi seperti khadam yang hina lagi setia, buta tuli serta pekak badak terhadap betul atau salahnya perbuatan atau kata-kata boss mereka. Jika boss mereka menyuruh mereka lompat, mereka akan bertanya setinggi mana? Jika boss mereka menyuruh mereka berlari, mereka akan berlari sekuat hati sehingga terbang di udara. Sedangkan pekerja biasa akan bertanya, kenapa saya perlu melompat atau berlari tanpa sebab?

Itulah bezanya antara balaci dengan pekerja biasa kepada seorang politikus.

Justeru, seorang pekerja biasa kepada politikus yang membaca artikel ini tidaklah perlu melenting atau meroyan kecualilah jika deria rasa anda mampu merasa pedas tidak tentu pasal.

Tetapi, jika anda seorang balaci yang membaca artikel ini, anda punya hak untuk melompat atau mengamuk semahu-mahunya tetapi anda tidak perlu sama sekali untuk menjelaskan apa-apa terhadap saya mengenai betul atau salahnya perbuatan anda. Jika anda rasa anda betul dan punya alasan kukuh, jelaskan saja kepada Tuhan, bukan saya atau sesiapa.

Melayu dan Wang Haram

Ibu saya sering berpesan, dalam kita mengkritik orang jangan lupa untuk melihat pada diri sendiri kerana adakalanya kita mungkin berubah menjadi orang itu secara perlahan-lahan tanpa kita sedari. Jangan juga sekali-kali mengumpat atau mengutuk dengan keterlaluan atas apa yang berlaku kepada orang atau kita akan ditimpa nasib yang sama dengan orang tersebut suatu hari nanti. Kata ibu saya lagi, jikapun nasib itu tidak menimpa kita, ia mungkin akan menimpa anak-anak atau cucu cicit kita di masa hadapan.

Begitulah juga jika kita berbuat baik pada seseorang, mungkin budi itu tidak akan dibalas oleh orang yang sama dan mungkin juga ia tidak dibalas langsung kepada kita. Tetapi percayalah, anak atau cucu cicit kita nanti pasti akan merasa balasan terhadap budi yang kita curahkan pada hari ini. Hidup mereka akan menjadi senang dan bantuan akan sering sahaja mudah diperolehi hanya kerana ibubapa atau nenek moyang mereka telah banyak berbudi lama dahulu.

Selain itu, ibu berkali-kali mengulangi bahawa doa nenek moyang untuk anak cucu juga sedikit sebanyak menentukan keberkatan kehidupan anak cucu tersebut kemudian hari. Nenek moyang yang soleh, pasti doa mereka akan dikabulkan dan InsyaAllah, anak cucu mereka akan sentiasa terpelihara dari segala maksiat, benda haram dan juga kecelakaan. Kerana itulah amat penting kita melihat pada keturunan dalam memilih pasangan.

Saya berpegang kuat kepada pesanan ini kerana telah banyak kali melihat ianya berlaku di kalangan orang-orang yang saya kenali. Kerana itu, saya amat takut jika terlepas cakap atau keterlaluan dalam mengkritik, bimbang ia akan berbalik kepada saya. Kini, apabila lebih matang sedikit saya cuba sedaya upaya untuk ‘mengemaskini’ hati dan jiwa saya setiap kali menyatakan atau mencoretkan sesuatu. Sebagai manusia, pasti saya merasa tidak puas hati dengan diri sendiri kerana masih terlalu banyak kelemahan dari segi ibadah, ilmu dan sikap.

Walaupun begitu, dari segi kehidupan bersama keluarga, saya mampu berkata dengan tegas bahawa saya sudah cukup puas hati walaupun kami hidup sederhana. Kami juga merasa peritnya kenaikan harga barang dan sukarnya memenuhi setiap kehendak anak-anak dan diri sendiri. Kos barangan yang meningkat serta bayaran bulanan yang perlu dijelaskan memang menyakitkan. Tetapi, kami sekeluarga tetap gembira dan seringkali membuat jenaka sahaja bila tidak dapat memenuhi keinginan untuk bermewah sedikit sepertimana dahulu.

Sejak dahulu kami memang sentiasa merancang untuk memperbaiki taraf hidup kami dengan mengintai peluang perniagaan atau peluang kerja yang lebih baik. Sehingga kini, masih lagi buntu. Tetapi, yang penting, kami sekeluarga tetap gembira, tenang dan bahagia.

Apabila memikirkan hal inilah yang menyebabkan saya sering tertanya-tanya dan cuba memahami kenapa begitu ramai orang Melayu yang masih tidak mahu bersyukur dengan apa yang mereka ada sedangkan kedudukan ekonomi mereka sama atau lebih tinggi dari saya?

Kenapa mereka sanggup begitu rakus sekali cuba melonjakkan taraf hidup mereka dengan cepat walaupun ia bermakna menggadaikan maruah diri, membunuh parti tunjangan bangsa mereka perlahan-lahan dan menghancurkan bangsa sendiri dalam jangka masa panjang? Bagaimana mereka melakukan ini tanpa rasa jijik dengan diri sendiri, tanpa rasa bersalah dan jauh sekali malu pada sesiapa. Malah mereka melenting pula jika ada orang mempersoalkan pendirian mereka yang tiada pendirian itu.

Saya berpeluang makan semeja dengan seorang negarawan ulung dalam satu jamuan Hari Raya yang lepas, lalu mengambil kesempatan berbual mengenai hal ini dan bertanya kepadanya, “apakah yang melayu seperti ini makan agaknya hingga mereka jadi begitu hina?”

Beliau tersenyum dan tergelak sedikit kemudian sebelum menjawab, “mereka makan duit haram.”

Saya tahu itulah jawapannya, dan lega apabila mendapat pengesahan dari beliau sendiri. Tetapi, diam-diam saya juga menambah di dalam hati, iaitu “mungkin juga ada kena mengena dengan asal keturunan mereka agaknya.”

Ramai dari Melayu ini yang tidak mengaku bahawa wang yang mereka perolehi dari politikus tertentu itu haram dan memberi alasan konon wang itu wajar atas perjuangan menegakkan politikus yang benar. Pesan saya, ambillah sedikit masa untuk berkata benar kepada diri sendiri kerana jika benar politikus yang mereka perjuangkan itu benar, dia tidak akan sekali-kali perlu membeli mereka dengan wang. Dan jika benar mereka seorang pejuang, mereka tidak sekali-kali perlu menyembah mana-mana politikus. Budaya menyembah ketua ini harus dibuang dari dalam diri Melayu. Ketua harus dihormati, tetapi bukan disembah. Ini kita perlu ingat jika ingin maju seperti bangsa lain.

Melayu yang sudah mula makan duit haram akan secara automatik menjadi hamba, balaci atau dalam kata kesatnya ‘barua’ kepada sesiapa sahaja yang sanggup membayar. Mereka lupa bahawa rezeki yang sebenarnya di tangan Allah S.W.T jika mereka benar-benar berusaha. Mereka bersikap seolah-olah tanpa ehsan politikus tertentu mereka sekeluarga akan mati kebuluran. Tanpa sedar mereka melihat politikus yang memberi mereka makan sebagai lebih tinggi dari Allah S.W.T. sehingga segala keburukan politikus tersebut tidak lagi menjadi soal.

Melayu sebegini juga tiada maruah tetapi ada ego. Mereka juga tiada malu, tiada adab dan tiada rasa kesal. Yang ada cuma dendam, angkuh dan haloba.

Untuk menjustifikasikan apa yang mereka lakukan, mereka akan menyedapkan hati sendiri dengan menyatakan bahawa semua orang juga seperti mereka iaitu begitu hadapkan wang mudah tanpa mengira akibat terhadap diri, keluarga mahupun bangsa dan negara demi untuk hidup mewah. Mereka mengambil sikap seolah-olah mereka terperangkap di dalam dunia di mana jual beli maruah adalah sesuatu yang tidak boleh dielakkan. Sebenarnya, tidak perlu mereka memberi alasan kepada sesiapa atas perbuatan mereka kerana satu-satunya alasan yang perlu diberi hanyalah kepada Allah S.W.T.

Ini juga mengingatkan saya kepada satu lagi kisah ibu saya yang suatu ketika telah pergi ke Indonesia dan berpeluang memberi sedekah kepada rumah anak yatim milik seorang ulama di sana. Apabila sampai, ibu saya melihat ulama tersebut sedang memilih-milih wang di dalam karung yang disedekahkan kepadanya oleh orang ramai. Yang menghairankan, sesetengah wang itu dipegangnya dihujung jari seolah-olah ia terlalu kotor. Sesetengahnya pula dipegang dengan menutup hidung seolah-olah terlalu busuk. Wang-wang itu diketepikan. Dan wang yang selebihnya disimpan dengan baik untuk keperluan anak-anak yatim jagaannya. Ibu saya bertanya, kenapa beliau berbuat begitu. Katanya, wang-wang itu wang kotor dan ada sebahagiannya adalah wang darah kerana itu ia tidak boleh digunakan untuk memberi makan anak yatim. Hairan, kerana ibu saya melihat wang-wang tersebut sama sahaja dengan mata kasar. Tetapi, ulama sebenar mampu melihat lebih dari itu.

Justeru, apakah golongan Melayu tadi tetap sanggup menerima wang yang sebegitu kotor jika mereka dapat melihatnya seperti ulama tersebut? Ini kita tidak pasti.

Tetapi yang pastinya, Melayu yang makan wang kotor sudah semakin ramai sekarang. Darah daging anak cucu cicit mereka nanti juga adalah terbentuk dari wang haram yang diperolehi dengan menjual bangsa sendiri.

Hari ini kita sudah melihat produk melayu dari wang haram di mana sopan santun sudah tidak menjadi budaya. Akhlak yang baik dikeji sebagai ‘bersikap elit’, dan sebaliknya akhlak yang buruk, bongkak dan angkuh dipuji dan disukai konon berani.

Keturunan Melayu ‘wang haram’ ini akan terus berkembang dan semakin ramai. Mereka akan melata di bumi Malaysia ini tanpa jiwa dan tanpa roh. Islam hanya di kulit sahaja. Tiada lagi kesejahteraan dan keberkatan atas doa nenek moyang. Tiada lagi adat dan budaya. Lama-kelamaan Melayu akan pupus sepenuhnya dan Malaysia bukan lagi milik kita.